Wanita itu diibaratkan seperti bunga dan diibaratkan bagaikan permata yang lama terkubur dilembah kejahilan. Kehidupannya kembali mewangi ibarat sekuntum bunga yang mekar setelah disinari cahaya oleh insan yang berbudi luhur. Rasulullah telah mengangkat darjat wanita ke tahap yang paling tinggi. Malah, keindahan wanita juga terserlah pada kelembutan gerak langkah, kecantikan budi pekerti dan akhlak yang terpuji. Seorang muslimah yang sejati bukanlah dilihat dari segi kecantikan dan keayuan paras wajahnya semata-mata Alangkah indahnya dunia ini jika dihiasi muslimah solehah yang berpegang teguh dengan ajaran islam dan menghiasi bibirnya dengan perkataan yang mulia dan berzikir.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda, “dunia ini adalah perhiasan, dan seindah perhiasan adalah wanita solehah”. Daripada hadis ini (hadis Riwayat Muslim), terbukti bahawa martabat wanita begitu tinggi didalam islam. Perhatian islam terhadap wanita, tidak sekadar melepaskannya dari lembah bernoda menuju kedudukan yang mulia. Namun lebih daripada itu, wanita diberikan keistimewaan dalam merealisasikan fantasi dan impiannya. Anugerah dan keistimewaan itu memberikan keselesaan kepada wanita dalam menjalani tugas dan tanggungjawabnya. Islam juga memandang tinggi kedudukan wanita dalam kehidupan global. Berdasarkan al-Quran, wanita digambarkan dengan tiga fungsi. Pertama, wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam. Kedua, wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera kehidupan kearah kebahagian. Ketiga, wanita adalah anugerah Illahi yang istimewa kepada lelaki yang mencari kemesraan dan kebahagiaan hidup.
Antara asbab yang menyebabkan sifat malu dalam diri wanita dewasa kini berkurang adalah disebabkan faktor pergaulan yang terlalu bebas. Lihat diluar sana, remaja-remaja wanita yang sanggup bersengkang mata untuk menghabiskan masa bersama kekasih hati. Amat menyedihkan, apabila pergaulan antara wanita dan lelaki semakin menjadi-jadi dan seperti telah menjadi kebiasaan. Mereka bertepuk tampar sesama sendiri, sedangkan islam telah mengariskan batas-batas pergaulan yang telah termaktub didalam Al-Quran dan as-sunnah. Wahai wanita, lelaki yang baik ialah mereka yang tidak mengeluarkan kata-kata indah, merayu-rayu kepada wanita, lelaki yang baik ialah mereka yang bukannya malu kepada wanita. Tetapi, mereka malu kepada Allah dan takut akan dimurka Allah. Disebabkan itu wahai wanita, benteng ketahananmu menjadi semakin runtuh apabila lahirnya budaya bebas berpegangan tangan, keluar berdua-duaan. Hadis ada menyebut apabila seorang lelaki dan seorang wanita keluar berdua-duaan. Maka, akan adanya yang ketiga iaitu syaitan.
Wahai wanita, hayatilah kata-kata nasihat daripada Syeikh Ali Tantawi buat semua muslimah. “Wahai puteriku…Aku seorang bapa yang memasuki usia 50 tahun. Usia muda telah aku lewati. Aku tinggalkan kenangan, impian dengan segala ujian-ujian dunia. Banyak yang aku menulis, sering juga aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak. Semua itu berterusan aku sampaikan ,aku tulis, aku khutbahkan ..,sehingga pena yang aku gunakan menjadi tumpul dan lidahku kelu. Namun tetap tiada hasil yang aku perolehi. Kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya. Di setiap pelusuk negara, perbuatan mungkar terus ditemui, wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan , pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Wahai puteriku.. pintu pemulihan ada dihadapanmu. Kunci pintu itu ada di tanganmu. Jika engkau yakin padanya dan engkau berusaha untuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah menjadi baik.”
“Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki adalah pencuri, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspada seorang yang kikir terhadap pencuri. Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki menginginkan lebih dari sekadar kambing.., dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu. Lelaki menghendaki yang paling berharga darimu.., iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala. Wahai puteriku……….Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu bertelanjang dihadapannya tanpa pakaian.”
“Aku bersumpah lagi: “ Demi Allah, jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab. Bohong!……bohong!…demi Allah! dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan diantara mereka,pasti engkau takut dan ngeri. Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu, berbicara dengan lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak- tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal. Apakah sesudah itu puteriku?? Renungkanlah!.
Akhir kalam, keimanan perlu disuburkan dan dimantapkan . penyuburan dan pemantapan iman mesti dilakukan melalui ilmu dan amal ibadah dan hayatilah pemakaian kita didalam solat. Sebagaimana kita berpakaian sempurna semasa mengadap Allah , mengapa tidak kita praktikkan dalam kehidupan luar. Kerana itu, betapa islam telah meletakkan kaum wanita sebagai tunjang dalam peradaban islam yang agung. Maka, antara kemuliaan islam adalah kerana ia telah memuliakan wanita dan menegaskan kewujudannya serta kelayakannya untuk menerima taklif dan tangungjawab, pembalasan dan berhak pula masuk ke dalam Jannah. Meminjam ungkapan kata daripada, ustaz Zaharuddin “ wanita mempunyai peranan yang maha penting dalam kehidupan manusiawi. Sebagai ibu, isteri dan rakan seperjuangan kaum lelaki dalam menegakkan perintah dan larangan islam di atas muka bumi. Rosaknya kamu wanita membawa seribu satu macam bencana buat dunia. Rosaknya wanita pasti akan meruntuh institusi keluarga dan membawa kehancuran sebuah negara. Wanita boleh menjadi punca dan sumber iman bagi kaum lelaki, boleh juga menjadi sumber dosa dan kebinasaan.” Oleh itu, wahai wanita jadilah seperti ‘seindah mawar berduri’, yang hanya boleh dimiliki dan disentuh oleh mujahid yang benar-benar setia kepada Allah dan Rasul-Nya.
No comments:
Post a Comment